Tuesday, September 29, 2009

rintihan dara

Maha Suci Tuhan yang telah memberi ketenangan
dalam sujud taubat, hajat, istiqarah,syukur dan dhuha
dalam kekeliruan mencari cinta
lantaran usia kian mengejar
apalagi mereka yang seusia telah menginjak fasa
aku yang bukan lagi digelar dara rebutan!

Dalam kata mereka, kuterima sebagai nasihat
dan senyum bonda, senyum berhajat
kuselami erti tersirat
mahu aku punya pembimbing kampung akhirat

Bukan aku tidak mahu
bukan hanya tunggu menanti seru
tapi aku terkeliru
dalam usaha itu
adakalanya tersasar dari jalanMu

Lantas aku undur langkah
dalam taubat kumohon keampunan
dalam hajat kumohon pertolongan
dalam istiqarah kumohon pilihan
dalam syukur kumohon pemeliharaan
dalam dhuha kumohon kurniaan!

Masih terngiang lagi sinis kata menguji iman
kalau kau tu baik sangat…
kenapa belum punya teman?

Bagaimana harus aku bicarakan
jodoh bukan untuk orang yang baik…sahaja
orang tak baik pun ada jodoh juga
sudah termaktub janjiNya
lelaki baik untuk perempuan baik begitu juga sebaliknya
yakin lah…
ajal maut, jodoh, pertemuan ada hikmah
pabila tiba masanya, pasti takkan berganjak walau sesaat!



Monday, September 28, 2009

getar di hatikukah itu....?

Sebentar tadi aku membaca himpunan puisi yg terletak di bahagian bawah rimbunan prisma kasih dan aku baca buat sekian kalinya puisi ini.....;

kau tanyalah pada malam
ketika kau merenung bintang2 di langit
sambil bayu mengirim bisikan rindu
siapakah yg turut sama berbuat begitu
jika bukan aku….

usah kau harap jawapan dari suaraku
kerana getar di hati
telah menjadi gelora di tujuh lautan

dan nafas cintaku
merentas jarak dan waktu
berkelana di tujuh benua
dan masih mampu hidup
walau di tandus sahara
walau di dasar gelap laut dalam

dan aku pasrah
pabila tatapan mataku yg redup
masih menggamit rindumu
dan suara lunakku
masih setia membelai jiwa laramu….

Friday, September 25, 2009

sahabat


‘Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati..’

“Sebaik baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya” (H.R al-Hakim)

ALLAH SWT mencipta makhluk di atas muka bumi ini berpasang-pasangan. Begitu juga manusia, tidak akan hidup bersendirian. Kita tidak boleh lari dari berkawan dan menjadi kawan kepada seseorang. Jika ada manusia yang tidak suka berkawan atau melarang orang lain daripada berkawan, dia dianggap ganjil dan tidak memenuhi ciri-ciri sebagai seorang manusia yang normal.

Inilah antara hikmah, kenapa Allah SWT mencipta manusia daripada berbagai bangsa, warna kulit dan bahasa. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13, yang bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan berpuak-puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang lebih bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya.”

Dalam Islam faktor memilih kawan amat dititikberatkan. Hubungan persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia, kerana kawan atau sahabat berperanan dalam membentuk personaliti individu. Ada kawan yang sanggup bersusah-payah dan berkongsi duka bersama kita, dan tidak kurang juga kawan yang nampak muka semasa senang dan hanya sanggup berkongsi kegembiraan sahaja.

Pendek kata sahabat boleh menentukan corak hidup kita. Justeru, jika salah pilih sahabat kita akan merana dan menerima padahnya. Selari dengan hadith Rasululah saw yang bermaksud: “Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya” (H.R Abu Daud).

Bak kata pepatah Arab, “Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.”

Related Posts with Thumbnails